Pages

Thursday, December 30

Rahsia Ahli Syukur

Semoga Allah Yang Maha Menatap, Maha Gagah, Maha Menguasai segala-galanya dan mengurniakan kepada kita hati yang bersih sehingga dapat mengangkap hikmah disebalik kejadian apapun yang kita rasa dan kita saksikan, kerana penderitaan dalam hidup bukan kerana kejadian yang menimpa kita tetapi kerana kita tertutup dari hikmah.

Allah mentaqdirkan apapun Maha Cermat, tidak pernah menzalimi makhluk-makhlukNya. Kita sengsara adalah kerana kita sendiri yang menzalimi diri kita.
"Barangsiapa yang tidak mensyukuri nikmat Allah, sesungguhnya ia telah membuka jalan hilangnya nikmat dari dirinya. Akan tetapi barangsiapa yang mensyukuri nikmat Allah, maka sungguh ia telah memberi ikatan yang kuat pada kenikmatan Allah itu."

Jadi setiap nikmat itu menjadi pembuka atau penutup pintu nikmat lainnya. Kita sering menginginkan nikmat padahal rahsia yang boleh mengundang nikmat ialah syukur atas nikmat yang ada. Jangan engkau lepaskan nikmat yang besar dengan tidak mensyukuri nikmat yang kecil. Maka, daripada kita sengsara oleh nikmat yang belum ada, lebih baik mensyukuri nikmat yang ada sekalipun nikmat itu sedikit ataupun kecil. Sayang sekali, kita sering mendengar kata syukur itu hanya pada makanan, padahal syukur adalah bentuk amal yang lebih luas dan besar pengaruhnya. 

Syarat yang pertama menjadi ahli syukur adalah hati tidak berasa memiliki, tidak merasa di miliki kecuali yakin segalanya milik Allah swt. Makin kita takut kehilangan, takut kehilangan adalah satu bentuk kesengsaraan. Tapi, kalau kita yakin segalanya milik Allah, maka diambil oleh Allah tidak layak kita merasa kehilangan kerana kita rasa ia hanya dipinjamkan kepada kita.
Semakin kita berasa rezeki itu milik manusia, kita akan berasa berharap kepada manusia dan akan makin sengsara, senikmat-nikmat dalam hidup adalah kalau kita tidak berharap kepada makhluk tetapi berharap hanya kepada Allah swt. 

Rahsia yang kedua ahli syukur adalah "orang yang selalu memuji Allah dalam segala keadaan". Mengapa? Kerana kalau dibandingkan dengan nikmat atau musibah, tidak akan ada apa-apanya. Musibah yang datang tidak sebanding dengan samudera nikmat yang tiada bertepi yang diberikan Allah kepada kita. Apa yang membuatkan kita menderita? Sebabnya,kerana kita tamak kepada yang belum ada. 

Ciri yang ketiga dari ahli syukur adalah manfaatkan nikmat yang ada untuk mendekatkan diri kepada Allah. Alkisah ada tiga penunggang kuda masuk ke dalam belantara, ketika dia tertidur kemudian terjaga semula, dilihat semua kudanya telah hilang. Betapa hairannya mereka memikirkan perkara itu. Tapi, seorang raja yang bijaksana melihat hal tersebut dan mengirimkan kuda yang baru yang lengkap dengan bekalan. Ketika dikhabarkan sikap ketiga pennuggang yang hilang kuda itu, terdapat cerita yang berbeza. Si A berasa kagum dan berkata, " Wah, ini hebat sekali kuda, bagus ototnya, bekalnya banyak pula!" dia sibuk dengan kuda tanpa bertanya kuda siapakah ini. Si B, gembira dengan kuda yang ada dan berkata, "Wah, kuda ini hebat." Sambil berterima kasih kepada yang memberi. Sikap si C adalah lebih berbeza, ia berkata, "Ini bukan kuda saya, siapa pemilik kuda ini? Yang ditanya menjawab, "Ini kuda milik raja." Si C bertanya kembali, " Kenapa raja memberikan kuda ini?" dijawab "sebab raja mengirimkan kuda agar engkau mudah bertemu denga  si raja." Dia gembira bukan kerana bagusnya kuda, tetapi kerana dapat mempermudahkan dia bertemu dengan si raja.

Begitulah sikap manusia yang bersyukur. Si A adalah manusia yang (jika) mendapatkan kereta, motor, rumah dan kedudukan, ia akan sibuk dengan kenderaan itu, tanpa sedar bahawa ia adalah pinjaman semata-mata. Orang yang paling bodoh adalah orang yang memilki dunia tapi dia tidak sedar bahawa itu titipan Allah. Yang B mungkin adalah model kita yang ketika senang mengucapkan syukur, tetapi ahli syukur yang asli adalah yang ketiga yang kalau memiliki sesuatu dia berfikir inilah kenderaan yang akan mendekatkan diri kepada Allah swt.

Ketika mempunyai wang dia mengucapkan syukur kepada Allah swt, wang inilah menjadi pendekat saya kepada Allah, dia tidak berat untuk mebayar zakat, dia ringan untuk bersedekah, kerana tidak akan berkurang harta dengan bersedekah. Binalah rumah dan tidak bersikap sombong, belilah aksesori rumah yang membuat setiap tamu yang datang menjadi dekat kepada Allah, bukan mempamerkan kekayaan kita. Pasanglah hiasan yang membuat tetamu kita ingat kepada kekuasaan Allah bukan kekuasaan kita. Itulah rumah yang InsyaAllah mendapat berkah.

Tapi kalau rumah dimiliki hanya untuk dipamerkan dan inginkan kerusi yang amat mewah,gambar-gambar yang tidak membuat ingat kepada Allah, malah ujub, riyak, takabur, tidak hairan rumah itu semakin di minati pencuri dan rumah yang diminati pencuri itu membuatkan pemiliknya dalam ketakutan. Dia harus mengupah pengawal, memasang isyarat kecemasan dan sebagainya. Lain pula jika rumahnya akan mendekatkan diri kepada Allah, dia tidak akan sesibuk itu dan tidak akan dilanda ketakutan.

Kesungguhan kita untuk mendidik anak lebih baik daripada punya anak tetapi tidak tahu agama, lalu bagaimana anak itu akan memuliakan ibu bapanya? Ketika kita mati merekahanya berebut harta warisan. Mereka tidak mensolatkan ibu bapanya. Maka orang yang bersyukur adalah orang yang mendidik anaknya supaya dekat dengan Allah. Didunia nama orang tuanya terbawa harum kerana anaknya mulia. Di kubur lapang kuburnya kerana doa anaknya. Di akhirat InsyaAllah akan terbawa kerana berkah mendidik anak. 

Kunci syukur yang keempat adalah berterima kasih kepada yang telah menjadi jalan nikmat. Seorang anak disebut ahli syukur kalau dia tahu membalas budi kepada ibu dan bapanya. Dimana-mana anak yang soleh itu harum namanya. Tetapi anak derhaka tidak pernah ada jalan menjadi mulia. Mengapa? Kerana mereka tidak tahu membalas budi. Memang benar orang tua kita tidak seideal yang kita harapkan tetapi masalah kita bukan bagaimana sikap orang tua itu kepada kita tetapi sikap kita kepada orang tua.

Negara kita dikatakan negara bersyukur sekiranya kita sedar bahawa Negara ini adalan titpan Allah, bukan milik seseorang, bukan milik pahlawan, bukan milik siapapun. Tapi Negara ini tidak ada pemiliknya selain Allah. Kita harus bangkit! Negara ini harus menjadi ladang untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Dengan ada perasaan benci, dendam atau sakit hati, itu semua tidak akan menyelesaikan masalah tetapi justeru akan menambah masalah. Daripada sibuk mempersalahkan oorang lain, lebih baik kita sedikit demi sedikit menyelesaikan masalah. Itulah namanya syukur nikmat.

Jangan melihat orang dari topeng duniawinya tetapi lihatlah orang dari akhlaknya kerana akhlak adalah buah dari keimanan dan keilmuan yang diamalkan. Harta, gelaran, pangkatdan kedudukan tidak akan menjadikan kemuliaan akhlak seseorang. Bererti dia telah terpedaya. Kita tidak memerlukan topeng. Yang kita perlukan adalah isi dan isi inilah milik orang-orang yang ahli syukur kepada Allah.

Mudah-mudahan daripada kita memikirkan yang tidak ada atau yang belum kita miliki – lebih baik mensyukuri yang sudah kita miliki seadanya. Wallahua'lam.

# petikan dari sebuah blog

0 comments:

Post a Comment

 
pregnancy

Sedang Online

widget