Pages

Wednesday, March 30

Peribadi Mulia Rasulullah saw..



Kuliyyah maghrib oleh Ustaz Syed Al-Attar tentang keperibadian Nabi Muhammad yang patut kita kagumi dan ambil contoh.Ceritanya begini.

Rasulullah s.a.w merupakan seorang yang berperibadi mulia. Selepas bersembahyang di masjid, baginda akan terus keluar mencari fakir-fakir miskin dan anak yatim tidak kira islam atau kafir untuk menghulurkan batuan termasuklah seorang tua yang kafir dan buta.

Orang tua buta ini diupah oleh pihak kafir Quraisyh untuk menyebarkan berita pada setiap orang yang berjumpa dengannya dengan mengatakan "Muhammad itu penipu, Muhammad itu jahat, Muhammad itu pendusta, jauhi Muhammad". Begitulah setiap hari kerja orang tua ini memburukkan Nabi pada setiap orang. Tetapi lain pula dipihak Nabi.

 

Setiap hari selepas keluar dari masjid, Rasulullah akan pergi kepada orang tua buta ini untuk menyuapkan makanan dan setiap hari jugalah orang tua itu memburukkan nabi dihadapan Rasulullah sendiri. Akan tetapi keperibadiaan mulia Nabi Muhammad begitu terserlah. Baginda tidak pernah marah malah mengangguk-angguk sahaja apabila orang tua itu memburuk-burukkannya. Begitu sabar baginda.

Malah terus menyuapkan makanan kepada orang tua itu setiap hari selepas beribadah di masjid. Besarnya kebaikan hati baginda bukan? Sambung cerita...

Maka sampailah ketika Rasulullah wafat. Maka, kepimpinan pun digantikan oleh khalifah Abu Bakar As-siddiq. Lalu, berjumpalah Saidina Abu Bakar dengan anaknya, Aisyah selaku isteri Rasulullah. Bertanyalah Saidina Abu Bakar kepada Aisyah, "Aisyah, anakku. Adakah selama kepimpinanku aku terlupa atau masih belum melakukan semua sunnah Nabi?"

Maka jawablah Aisyah, "Ayahandaku, masih ada satu lagi yang belum dikau lakukan. Setiap pagi selepas beribadah di masjid, baginda akan memberi makan kepada fakir miskin dan anak yatim tidak kira islam atau tidak termasuklah seorang tua buta yang kafir"

Maka, pada keesokan harinya Saidina Abu Bakar pun selepas beribadah pergilah kepada orang tua itu untuk menyuapkan makanan. Semasa Saidina Abu Bakar sedang menyuapkan makanan, orang tua buta itu masih tidak henti-henti memburukkan Rasulullah. Tiba-tiba orang tua itu bertanya kepada Saidina Abu Bakar, "siapakah kamu?"

Maka jawablah Saidina Abu Bakar, "akulah yang sedang menyuapkan kamu makanan". Lalu jawab lagi orang tua itu. "Bukan, kau bukan orang yang selalu menyuapkan makanan kepada aku sebelum ini. Orang sebelum ini menghancurkan makanan halus-halus kerana aku dah tua, tiada gigi tetapi engkau tidak. Sahlah engkau bukan orang itu"

Maka menangislah Saidina Abu Bakar dengan kemuliaan Nabi Muhammad. Maka jawablah Saidina Abu Bakar, "Iyya wahai orang tua. Aku bukan orang yang selalu menyuapkan engkau. Orang yang selalu menyuapkan engku telah wafat. Bagindalah Nabi Muhammad s.a.w. "Orang tua itu terus menangis tersedu-sedan mendengar khabar itu. Tidak disangkanya bahawa orang yang selalu diburuk-burukkan adalah Nabi Muhammad sendiri. Betapa mulianya sifat baginda. Maka orang tua buta itu teruslah memeluk agama Islam.

Lihatlah betapa indahya peribadi Rasulullah. Adakah kita semua bersikap dan berkeperibadi seperti baginda? Tidak bukan. Ana sendiri sangat jauh tidak berkeperibadiaan seperti baginda. Mencontohi sikap baginda bukan sahaja berbuat baik kepada orang islam tetapi kepada setiap makhluk di muka bumi ini. Melakukan sunnah bagina bukan sahaja berselawat ke atas baginda malah melaksanakan apa yang dilakukan baginda. Sama-samalah kita merenung semula apa yang telah kita lakukan sepanjang hidup kita. Bermuhasabah itukan baik..
 

0 comments:

Post a Comment

 
pregnancy

Sedang Online

widget