skip to main |
skip to sidebar
Makanan Untuk Ibu Dalam Pantang..
Pemakanan ialah aspek yang amat penting dalam
rawatan pantang bersalin. Ini kerana proses kehamilan telah mengganggu
keseimbangan hormon ibu. Mereka mengalami pelbagai bentuk tekanan dan
gangguan emosi akibat perubahan fizikal. Apalagi semasa melahirkan anak,
tenaga dikerah dengan hebat, urat saraf banyak yang cedera dan terjadi
luka di bahagian tertentu.
Mengikut sesetengah petua Melayu,
ibu-ibu dalam pantang disyorkan makan nasi berlaukkan ikan masin atau
ikan panggang berkunyit dan meminum air mengikut sukatan jari (dua ruas
jari untuk sekali minum). Akibat diet cara ini (kurang berzat dan kurang
air) ibu-ibu terdedah kepada risiko penyakit buah pinggang dan tekanan
darah rendah. Oleh sebab itulah makan perubatan moden menentang amalan
berpantang cara Melayu. Ingin diingatkan, cara pemakanan tersebut
bukanlah cara Melayu tradisional yang sejati tetapi merupakan sebahagian
cara hidup mereka yang kurang berkemampuan.
Jenis ikan
Ibu
dalam pantang dilarang memakan ikan masin atau ikan kering kerana
makanan tersebut hanya akan menyebabkan darah nifas berbau busuk, cepat
kering serta melemahkan daya ketahanan fizikal dan mental. Ilmu
perbidanan Melayu menggalakkan memakan ikan yang segar, mengelakkan ikan
yang berbisa seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang serta
parang kerana takut menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Selain
ikan berbisa, jenis ikan yang dilarang yang menyebabkan kegatalan kulit
serta menimbulkan reaksi alahan ialah ikan kembung, tamban, cencaru,
atau tongkol dan makanan laut seperti udang, sotong, kerang dan
lain-lain.
Mengikut petua Melayu, ikan yang disyorkan dalam
pantang bersalin ialah haruan dan yu. Ia dipercayai boleh memulihkan
luka-luka dalaman dan luaran. Ikan haruan yang hidup di dalam lumpur
mengandungi khasiat mineral yang tinggi bagi menyembuhkan luka. Secara
tradisi, ikan yu dipercayai dapat membanyakkan susu ibu dan beberapa
kajian saintifik turut mendapati perkara tersebut benar.
Ulam-ulaman
Terdapat
pelbagai jenis ulam tempatan yang mudah diperoleh di mana-mana,
antaranya serai, lengkuas, daun atau ubi cekur, bunga kantan, kunyit
hidup, daun kesum serta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat
galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat
anti oksidan.
Selain ulam di atas, terdapat ulam berkhasiat yang sesuai dimakan oleh ibu dalam pantang, antaranya: Daun
pegaga, pucuk mengkudu, ulam raja, daun lemuni hitam, daun maaf zahir
batin, daun sekentut, daun cemumar, daun pudina, daun kari, daun bebuas
dan daun ruku.
Jenis sayuran dan buahan
Ibu bersalin
dilarang memakan sayur-sayuran menjalar, sejuk serta berangin. Antaranya
ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, pucuk paku, bayam,
sayur atau daun keti (bunga putih), kacang panjang, petola, labu,
rebung, kacang botor, jeruk maman, petai, jering serta terung. Ibu
bersalin juga harus mengelakkan minuman bergas, sejuk serta tajam
seperti air tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas,
jambu, belimbing, durian belanda, mangga, betik, ciku, langsat, tembikai
cina, nangka, cempedak, pisang masak hijau, pisang nangka, pisang
embun, pisang udang, ubi kayu, ubi keladi, sengkuang, manggis, macang,
kuinin, dan binjai. Makanan tersebut dilarang kerana dapat mengakibatkan
sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi. Penyakit-penyakit
tersebut diketahui telah banyak berleluasa di barat dan dikenali sebagai
artritis dan rheumatisme.
Jenis ayam dan burung
Ibu
bersalin disyorkan memakan ayam hitam, ayam didik atau ayam selasih yang
digaul dengan halia tua, garam kasar dan madu lebah. Ayam ini dikukus
dan diambil patinya untuk mengembalikan ketahanan tubuh. Burung puyuh
dan merpati juga baik untuk melancarkan aliran darah dan mengatasi
masalah sukar tidur pada waktu malam.
0 comments:
Post a Comment