Darah Nifas
Wanita yang baru bersalin
akan mengalami turun darah nifas yang hampir sama bentuknya dengan darah
haid. Jangka waktu nifas lebih panjang daripada darah haid; purata
lebih kurang dua minggu. Jika nifas berpanjangan melebihi jangka waktu
ini, atau berlaku tumpah darah yang banyak mungkin ini menandakan
gangguan atau penyakit dalam rahim.
Tumpah Darah
Tumpah
darah selepas bersalin atau post-partum haemorrhage biasa berlaku sebaik
sahaja wanita melahirkan anak sama ada selepas uri dilahirkan ataupun
sebelum uri dilahirkan dan ia terlekat dalam rahim. Keadaan tumpah darah
yang begini amatlah berbahaya kerana biasanya ia berlaku dengan tidak
semena-mena dan pendarahan boleh berlaku dengan amat banyak sehingga
boleh meragut nyawa ibu.
Tumpah darah ketika ataupun sebaik
sahaja lepas bersalin masih menjadi punca utama kematian ibu di
Malaysia, khususnya ibu yang melahirkan anak di rumah. Masalah ini juga
kerap dialami oleh ibu yang telah banyak kali melahirkan anak. Akibatnya
rahim menjadi lemah dan tidak boleh kuncup dengan kuat untuk
mengelakkan kejadian tumpah darah. Keadaan ini juga boleh berlaku di
hospital atau di pusat-pusat kelahiran khususnya mereka yang mengalami
kerumitan ketika melahirkan anak seperti kelahiran dengan cara forsep.
Namun demikian jika ia berlaku di hospital atau pusat-pusat kelahiran,
biasanya ia boleh diselamatkan kerana adanya kemudahan rawatan dalam
bentuk tranfusi darah serta kakitangan yang boleh mengendalikannya.
Jika
kelahiran berlaku di rumah ia sering mengakibatkan maut. Wanita yang
mengalami masalah seperti urinya terlekat dan tidak boleh dikeluarkan
dalam tempoh satu jam selepas bayi dilahirkan, akan mengalami masalah
tumpah darah yang banyak. Oleh itu jika uri tidak boleh dikeluarkan,
bawalah wanita itu segera ke hospital. Di sesetengah negeri di Malaysia
ada satu pasukan ala flying squad yang boleh dipanggil untuk mendapatkan
rawatan cemas di rumah.
Tumpah darah selepas bersalin mungkin
juga boleh berlaku dalam masa 48 jam selepas bersalin atau bila-bila
masa dalam seminggu selepas bersalin. Jika ia berlaku dalam masa 48 jam
walaupun uri telah dikeluarkan, ini mungkin menandakan kuncupan rahim
tidak begitu kuat ataupun sebahagian daripada uri atau selaput bayi
masih tertinggal dalam rahim. Pendarahan mungkin juga disebabkan oleh
jangkitan kuman dalam rahim. Setiap pendarahan yang berlaku dan melebihi
had biasa perlu mendapat perhatian doktor dan jika ia berlaku dengan
banyaknya pesakit perlu dibawa segera ke hospital untuk mendapatkan
rawatan kerana ini boleh mengancam nyawa ibu.
Sebaiknya keadaan ini boleh dijauhkan dengan menentukan beberapa perkara:
Pertama:
Ketika bayi dan uri dilahirkan tentukan setiap sudut uri
diperiksa. Pemeriksaan ini untuk menentukan uri sempurna dilahirkan dan
tiada bahagian, cebisan atau sisa-sisa yang tertinggal dalam rahim.
Kedua:
Jauhkan daripada sakit beranak yang terlalu panjang dan
berlarutan (prolonged labour). Ini adalah salah satu faktor yang
menyebabkan tumpah darah berlaku. Bayi perlulah dilahirkan secara forsep
atau pembedahan jika kesakitan bersalin melebihi hadnya. Wanita yang
mengalami tumpah darah itu perlulah diberi tranfusi darah ataupun apa
sahaja cecair yang sesuai dan mudah terdapat pada ketika itu jika darah
tidak boleh didapati. Juga tentukan rahim itu kuncup. Jika ia tidak
kuncup, suntikan ubat ergometrine akan diberikan untuk menentukan rahim
kuncup untuk menahan pendarahan. Pesakit ini perlu menjalani pembedahan
kecil untuk membersihkan sisa-sisa uri atau selaput bayi yang mungkin
tertinggal dalam rahim. Proses yang digelar evacuation of the uterus ini
perlu dilakukan di bilik bedah.
Jangkitan Kuman Pada Pundi Air Kencing
Salah
satu masalah yang kerap dialami oleh wanita selepas bersalin ialah
jangkitan kuman pada pundi air kencing. Masalah ini juga sering dialami
oleh wanita hamil kerana aliran air kencing menjadi perlahan dan
bertakung akibat rahim yang membesar. Ketika proses kelahiran berlaku,
pundi air kencing menjadi sasaran menyebabkan ia tertekan, terhimpit dan
kadangkala tercedera.
Doktor perlu memasukkan alat catheter
untuk mengeluarkan air kencing yang mungkin bertakung oleh sebab proses
kelahiran. Ini boleh menyebabkan jangkitan kuman. Apabila jangkitan
kuman berlaku, wanita itu kerap membuang air kecil tetapi
sedikit-sedikit dan terasa sakit atau pedih. Jika tanda-tanda ini
berlaku, perlulah perhatian doktor. Air kencing perlu diperiksa untuk
menentukan sama ada rawatannya hanyalah dengan memakan ubat antibiotik
selama lima hari atau seminggu.
Jangkitan Kuman Pada Luka Dan Rahim
Selain
daripada pundi air kencing, jangkitan kuman juga boleh berlaku pada
luka di bahagian kemaluan, luka oleh sebab pembedahan sesarean dan luka
pada rahim iaitu luka yang berlaku apabila uri dilahirkan. Jagaan dan
kebersihan pada tempat-tempat yang luka sangat penting untuk menjauhkan
jangkitan kuman. Penting juga wanita meningkatkan sistem pertahanan diri
supaya serangan kuman dapat dielakkan. Ini boleh dicapai melalui
pemakanan yang seimbang kandungan zatnya.
Pengambilan pil
vitamin perlu diteruskan supaya tahap kesihatan dapat ditingkatkan dan
seterusnya boleh mengelakkan serangan kuman.
Luka pembedahan
sesarean boleh dijangkiti kuman menyebabkan takungan nanah atau abcess.
Wanita itu akan terasa sakit berdenyut-denyut pada luka menjadikannya
merah. Takungan nanah ini perlu dibedah untuk mengeluarkan nanah.
Rawatan secara dressing akan dilakukan setiap hari di samping ubat
antibiotik untuk dimakan. Luka episiotomi juga boleh menimbulkan masalah
jika jahitannya terbuka sebelum sembuh. Keadaan ini digelar breakdown.
Kejadian ini biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman atau takungan
nanah pada luka.
Jika ini berlaku pembedahan kecil perlu
dilakukan untuk setiap hari. Masalah pada luka ini jika tidak dirawat
dengan betul boleh menimbulkan masalah jangka panjang seperti terasa
sakit ketika mengadakan hubungan kelamin. Oleh itu, setiap wanita
perlulah menjaga kebersihan serta menjauhkan masalah jangkitan kuman
pada luka di kemaluan.
Jangkitan kuman pada rahim juga boleh
berlaku. Tanda-tanda bagi jangkitan kuman pada rahim ialah demam panas,
sakit perut dan lendir yang berbau.
Lendir
ini biasanya
bercampur darah nifas. Masalah tumpah darah juga mungkin berlaku akibat
jangkitan kuman. Rawatan yang khususnya ialah dengan makan ubat
antibiotik. Jika ada sisa-sisa uri atau selaput bayi tertinggal dalam
rahim, ini memerlukan pembersihan secara D&C yang dilakukan di
hospital.
Masalah Buah Dada
Beberapa masalah buah dada
boleh berlaku selepas bersalin. Pertama, bengkak buah dada atau breast
engorgement. Ini biasanya disebabkan oleh saluran susu pada puting tetek
tersekat. Untuk menjauhkan masalah ini penting bagi setiap bakal ibu
membersihkan puting buah dada dengan air bersih. Urutlah buah dada ke
arah puting untuk memudahkan aliran susu. Jika buah dada selalu diurut,
nescaya masalah saluran puting susu tersumbat boleh diatasi. Bengkak
buah dada biasanya kerap berlaku di kalangan ibu yang tidak menyusukan
anaknya.
Sebaiknya setiap ibu patut menyusukan bayinya dengan
susu sendiri kerana khasiat makanan yang terkandung di dalamnya. Susu
ibu sudah tersedia dan apa yang lebih pentingnya penyusuan ibu dapat
merapatkan hubungan emosi antara bayi dan ibu. Bagi ibu yang telah
membuat keputusan tidak akan menyusukan anaknya, masalah bengkak buah
dada boleh diatasi dengan memakan ubat yang khusus untuk menyekat
pengeluaran susu. Ubat ini mengandungi hormon estrogen yang dimakan
lebih kurang lima hari. Ubat terbaru di pasaran untuk menyekat
pengeluaran susu dan mencegah bengkak dan sakit buah dada ialah
Bromocryptine yang dimakan selama beberapa hari.
Bengkak buah
dada boleh menimbulkan masalah jangkitan kuman, mengakibatkan mastitis.
Ini menyebabkan rasa sakit serta demam panas. Bagi mengawal keadaan ini,
perlulah ibu berjumpa doktor yang kemudiannya akan memberi ubat
antibiotik dan juga penawar sakit. Masalah jangkitan kuman pada buah
dada boleh berlarutan menimbulkan masalah nanas atau abcess. Jika
keadaan ini berlaku satu pembedahan kecil perlu dilakukan di hospital
untuk mengeluarkan nanah itu.
Ubat antibiotik, penawar sakit dan juga hormon untuk menyekat pengeluaran susu akan diberikan bagi merawat abcess ini.
Amalan
menyusukan bayi dengan susu sendiri boleh mengatasi masalah yang saya
nyatakan di atas. Di samping itu, kajian telah menunjukkan penyusuan ibu
mungkin boleh menghindarkan atau mengurangkan risiko penyakit kanser
buah dada. Oleh itu saya sering menasihatkan ibu menyusukan bayinya
sendiri kerana menyusu sendiri itu amat banyak faedahnya. Penyusuan juga
dikehendaki oleh agama Islam seperti yang ternyata dalam Surah
al-Baqarah 233 yang bermaksud bahawa ibu patut menyusukan bayinya selama
dua tahun.
Masalah Emosi
Dalam masa pantang, sesetengah
ibu yang baru melahirkan anak kerap mengalami tekanan jiwa dan emosi.
Tekanan ini memang telah wujud sejak ibu hamil dan berterusan hingga
melahirkan anak. Ketika pantang pula ibu perlu memberi jagaan yang rapi
kepada bayinya.
Tekanan fizikal dan mental mempunyai kesan yang
kuat terhadap jiwa dan emosi ibu. Akibat tekanan darah ini segolongan
wanita mengalami masalah kemurungan (depression) atau ada yang lebih
teruk lagi mengalami masalah sakit jiwa (pueperal psychosis). Dalam
keadaan yang amat menekan jiwa ada segelintir wanita yang cuba membunuh
diri. Tekanan jiwa dan emosi ini boleh dijauhi jika sokongan dan nasihat
yang sewajarnya dapat diberikan oleh orang yang penting dalam hidupnya
seperti suami.
Si isteri sepatutnya diberi bantuan, bukan sahaja
bantuan fizikal dari segi jagaan terhadap isteri dan bayi yang baru
lahir, tetapi juga sokongan moral. Saudara mara khususnya ibu wanita itu
boleh juga membantu mengatasi masalahnya.
Jika ada tanda-tanda
ibu itu mengalami kesedihan atau sakit jiwa, penting bagi suaminya
membawa ibu ini berjumpa doktor atau pakar sakit jiwa supaya keadaan ini
tidak akan berlarutan sehingga menimbulkan pueperal psychosis yang
boleh membahayakan nyawa ibu. Pada masa ini, lingkungan keluarga menjadi
semakin kecil. Sokongan moral dari saudara-mara makin berkurangan dan
ini adalah salah satu faktor yang boleh mengakibatkan ramai wanita
mengalami masalah emosi dan jiwa selepas bersalin. Sebaiknya hidup
secara tradisi dengan mengamalkan keluarga luas atau extended family
patut diteruskan supaya wanita yang baru bersalin dapat menghindarkan
gejala-gejala emosi dan jiwa.
Masihkah Kita Bersolidariti Tanpa Jemu?
3 months ago
0 comments:
Post a Comment